Hasil KHPT naik kepada RM29.14 juta pada 3QFY2025

KUALA LUMPUR 20 Nov – KHPT Holdings Berhad mencatat peningkatan hasil suku ketiga berakhir 30 September 2025 (3QFY2025) kepada RM29.14 juta, naik 13.2% berbanding RM25.74 juta pada suku sama tahun lalu.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Kumpulan itu berkata, peningkatan hasil suku tersebut didorong oleh pelaksanaan projek atas permintaan pelanggan, walaupun projek berkenaan beroperasi pada margin keuntungan lebih rendah.

“Keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi suku ini adalah RM1.79 juta, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) RM1.41 juta.

“Jumlah itu mencatatkan sedikit penurunan berbanding PBT RM2.38 juta dan PAT RM2.22 juta pada suku sama tahun lalu,” katanya dalam makluman tersebut.

Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025, KHPT mencatat hasil RM75.38 juta, susut berbanding RM78.06 juta tahun sebelumnya, susulan kelembapan industri automotif secara keseluruhan.

PBT bagi tempoh sembilan bulan adalah RM4.29 juta dan PAT RM3.18 juta.

Prestasi ini disokong oleh pengurusan kewangan berhemah dan kecekapan operasi walaupun kos operasi meningkat kerana perubahan peraturan termasuk penyesuaian gaji minimum dan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datin Eloise See berkata, keupayaan KPHT mengekalkan keuntungan dalam persekitaran margin yang ketat menunjukkan kekuatan asas perniagaan dan pengurusan kos yang berdisiplin.

“Kami tetap komited kepada kecemerlangan operasi dan penambahbaikan berterusan di semua bahagian perniagaan,” katanya.

Permintaan pasaran automotif Malaysia dijangka kekal mantap dengan unjuran pengeluaran penuh bagi tahun 2025 dianggarkan sebanyak 780,000 unit.

Pengeluar kereta tempatan, Perodua dan Proton, terus menguasai pasaran dengan gabungan pegangan sebanyak 63% sepanjang tempoh penilaian.

KHPT menjangkakan permintaan produk kekal stabil, disokong oleh jadual pengeluaran konsisten dan usaha pemodenan pengeluaran tempatan.

Kumpulan turut melihat potensi dalam segmen kenderaan elektrik serta projek dan kerjasama strategik yang mampu menyokong pengembangan jangka sederhana dan meningkatkan penciptaan nilai.

Kumpulan menumpukan usaha untuk memperkukuh kecekapan operasi, mengawal kos dengan lebih baik dan mengeratkan kerjasama dengan pelanggan utama, bagi memastikan pertumbuhan mampan jangka panjang. – DagangNews.com